SEPANG - Operasi Bersepadu dengan lapan sekatan jalan raya yang memfokuskan kenderaan perdagangan telah dilaksanakan di sekitar daerah ini sejak Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, setakat dua hari pelaksanaan operasi oleh pihaknya, sebanyak 1,103 individu dan 896 kenderaan diperiksa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan polis telah mengeluarkan 162 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
"Kejayaan yang direkodkan sepanjang operasi ini ialah tangkapan tiga lelaki yang memiliki rekod dikehendaki bersabit kes di Melaka Tengah, Putrajaya serta Banting.
"Pihak trafik juga telah menyita empat kenderaan berat atas pelbagai kesalahan seperti pemandu tiada lesen serta kenderaan tiada cukai jalan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Khamis.
Tegas Norhizam, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kesalahan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Dalam kes berasingan, Norhizam berkata, IPD Sepang telah merekodkan tiga kes orang hilang melibatkan remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun.
Tambahnya, kesemua kes ini berjaya diselesaikan dan remaja terbabit telah pulang kepada keluarga masing-masing.
"Ibu bapa diingatkan agar memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka," katanya.