Bekas eksekutif kanan didakwa pecah amanah RM103,060

Iklan
Seorang bekas eksekutif kanan perakaunan dan pentadbiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM103,060, tiga tahun lalu. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas eksekutif kanan perakaunan dan pentadbiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM103,060, tiga tahun lalu.

Suri rumah, G Selvi, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, ibu kepada anak kembar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan, terhadap wang yang diamanahkan terhadapnya di sebuah pejabat di Brickfields di sini, antara 7 November 2022 dan 15 September 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam, Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili wanita itu merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menyara anak yang mempunyai masalah jantung dan baru sahaja melahirkan bayi kembar.

Iklan

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes.