Bayi maut di taska: Keluarga tuntut keadilan buat arwah Handzalah

Iklan
Khairul Azwan mendukung arwah Handzalah, turut bersama isterinya, Sri Wahyuni dan anak sulung mereka, Khairul Iskandar Saqeef.

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI]"Kami cuma mahu menuntut keadilan dan berharap pelaku dihadapkan ke muka pengadilan."

Itu harapan bapa bayi lelaki berumur empat bulan, Allahyarham Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan yang meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra, di sini Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Khairul Azwan Mohamed Daud, 33, berkata, anak keduanya itu dihantar pada pagi hari kejadian dan dilihat dalam keadaan sihat dan ceria.

"Sewaktu menghadiri mesyuarat, saya terkejut menerima panggilan telefon daripada isteri (Sri Wahyuni Rahman, 28) memaklumkan bahawa anak kami tidak sedarkan diri.

Iklan

"Dalam keadaan fikiran yang kosong, saya bergegas menaiki motosikal menuju ke klinik bagi mendapatkan kepastian," katanya sebak kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia berharap mungkin hanya pengsan atau tertidur lama.

Iklan

"Ketika itu, doktor klinik berkenaan sedaya upaya melakukan bantuan pernafasan (CPR) dan oksigen ke atas arwah.

"Saya memegang kedua belah tangannya dan membisikkan ke telinga anak dengan memanggil namanya namun tiada sebarang reaksi," katanya.

Khairul Azwan berkata, mereka sekeluarga bercadang untuk berpindah ke rumah baharu di sekitar Shah Alam dalam masa terdekat.

"Sehari sebelum kejadian, kami empat beranak sempat meninjau lokasi rumah baharu itu dan membuat pelbagai perancangan masa depan untuk menetap di situ.

"Kami juga meninjau kawasan taman permainan di lokasi perumahan baharu itu, saya dukung arwah ketika itu sehingga dia tertidur dalam dakapan saya, tak sangka itu kenangan terakhir saya bersama arwah," katanya.

Menurutnya, keluarga berharap kematian arwah mendapat keadilan sewajarnya dan masih menunggu perkembangan siasatan yang dijalankan polis berhubung kejadian terbabit.

"Kami mahu pelaku yang bertanggungjawab dapat dikenakan tindakan undang-undang dan dibawa ke muka pengadilan.

"Kejadian ini juga menjadi asbab kepada ibu bapa lain supaya tidak berulang dan memastikan anak-anak mereka yang dihantar ke taska dalam keadaan baik," katanya.

Tambahnya, dia sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang selamat dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Shah Alam pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bayi lelaki berumur empat bulan meninggal dunia di sebuah taska pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan berkaitan kematian bayi berkenaan sebelum itu dibuat seorang doktor kira-kira jam 3.29 petang.

Beliau berkata, bayi itu dibawa seorang pengasuh taska berkenaan dalam keadaan pucat serta didapati kebiruan pada bahagian bibir dan kaki.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bayi itu tiada nadi serta tidak bernafas selain tiada pergerakan anak mata apabila disuluh menggunakan lampu.

Tambahnya, bayi itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Cyberjaya pada jam 5.05 petang.