Nafas perlu kekal sebagai pembekal utama baja negara

Iklan
Peranan Nafas sebagai pembekal utama baja kepada petani di seluruh negara perlu dikekalkan. Foto hiasan

SUNGAI PETANI - Peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pembekal utama baja kepada petani di seluruh negara perlu dikekalkan, kata Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok, Faizul Mat Hasan.

Beliau berkata, sejak sekian lama PPK membuat tempahan baja daripada Nafas dan pengagihan berjalan mengikut jadual.

Iklan
Iklan

"Kami di PPK buat tempahan kepada Nafas dan mereka perlu hantar dalam tempoh 30 hari kepada PPK... Selepas itu, PPK akan edarkan terus kepada petani yang mengusahakan sawah dengan menjadikan 45 hari keseluruhan tempoh pembekalan.

"Dua tiga musim lepas, semuanya berjalan mengikut jadual, cuma berlaku sedikit kelewatan pada musim baru-baru ini tetapi semuanya sudah selesai... Saya berharap agar Nafas kekal sebagai pembekal baja kepada para petani dan yakin dengan kemampuan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab pembekalan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Padang Tok Sora, Merbok di sini pada Khamis.

Iklan

Faizul berkata, musim kedua penanaman padi bagi tahun 2024 dijangka berakhir selepas padi mula dituai awal Februari ini.

"Bagi kawasan Merbok, sudah ada kawasan sawah yang mula menuai hasil padi dan ada yang akan dituai menjelang Februari ini.

Iklan

"Untuk musim berikutnya, saya berharap agar bekalan baja dapat diagihkan oleh Nafas menerusi PPK kepada petani dengan baik dan teratur," katanya.

Sementara itu, seorang pesawah Abd Malik Omar, 66, berkata, Nafas sudah dianggap sebagai anggota keluarga kepada PPK, para pesawah serta peladang.

"Saya menyokong penuh kesatuan dan ikatan yang telah terbina sejak sekian lama... PPK dan Nafas satu keluarga yang wajib dikekalkan demi membantu pesawah dan peladang mencapai matlamat menyediakan makanan utama negara.

"Saya berharap agar Nafas dapat melepasi kemelut yang melanda dan kembali menjalankan peranan mereka dengan lebih baik," katanya.

Seorang lagi pesawah, Mohd Nasir Osman, 58, pula berkata, dia mula mengusahakan sawah sejak berusia belasan tahun.

"Dalam keadaan ekonomi ketika ini, sebagai pesawah sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik serta mahu meningkatkan pengeluaran padi, bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan kami tetapi juga meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran.

"Sebab itu saya harap pembekalan baja terus diserahkan kepada Nafas seperti sebelumnya... Banyak jasa Nafas kepada pesawah, kalau ada kekurangan perbaiki tetapi biar Nafas terus berbakti kepada PPK dan pesawah," katanya.

Mohd Nasir berkata, risiko besar menanti petani sekiranya masalah di peringkat atasan masih berlarutan atau kerajaan menyerahkan urusan pembekalan baja kepada pihak swasta.

"Jika berlaku kelewatan pengedaran baja, musim penanaman padi tidak dapat bermula mengikut jadual dan hasil padi mungkin terjejas.

"Jika diswastakan pula, risiko untuk petani mungkin lebih teruk sebab mereka tiada pengalaman... Keadaan akan jadi kucar-kacir, sebab itu saya berharap agar kerajaan dapat buat keputusan terbaik," katanya. - Bernama