PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis melancarkan Kiosk Sentuhan Madani pertama di pusat beli-belah Alamanda di sini, yang merupakan inisiatif terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
Anwar tiba pada jam 2.45 petang bagi melancarkan kiosk itu yang menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan, disediakan melalui enam kiosk agensi kerajaan dan pihak swasta.
Kiosk tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kiosk Sentuhan Madani ialah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2025 yang diilhamkan Anwar untuk menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat menerusi kiosk digital agensi di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dengan jangka masa operasi yang lebih panjang.
Mengulas mengenai kiosk tersebut, Fahmi berkata, kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisiatif tersebut dengan menyediakan tapak pemasangan di premis masing-masing.
"Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi dengan dengan kerjasama beberapa pihak, kita pasti lokasi seperti pusat beli-belah dan tempat orang ramai memang sesuai (untuk pemasangan),” kata Fahmi kepada media ketika ditemui media di sini.
Beliau turut memaklumkan Kiosk Sentuhan Madani yang kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Februari ini. - Bernama