BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu gudang penyimpanan dan penjualan barangan elektrik tiruan di Jalan Rohzan di sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan jam 11.30 pagi itu susulan aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang mencurigai kewujudan aktiviti penjualan barangan tiruan di premis berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 572 unit barangan elektrik, termasuk pengisar, pengering rambut, pelurus rambut, pencukur, berus gigi elektrik, dan pelbagai barangan lain.
"Barangan-barangan ini disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
"Seorang wanita berusia pertengahan 40-an dipercayai pekerja di premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan KPDN, di sini pada Khamis.
Jegan berkata, kesemua barangan elektrik tiruan berkenaan dijual murah sehingga 50 peratus daripada harga barangan asli dan sindiket berkenaan menggunakan platform perniagaan dalam talian seperti TikTok untuk menjual produk terbabit.
Katanya, semua barangan bersama beberapa dokumen perniagaan berkaitan telah disita untuk tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM27,279.
Menurut Jegan, kes ini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak menjual barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil dan KPDN Kedah juga akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan inisiatif 'KITA GEMPUR'.
"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM30,000," katanya lagi.