Kepengerusian ASEAN: Malaysia mahu perkukuh hubungan ASEAN-China

Iklan
Mohamed Khaled ketika menjadi panel pada sesi forum bertajuk ASEAN Dynamics: Capitalising on Opportunities and Navigating Transition. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 mahu memanfaatkan hubungan kukuh dengan China untuk mengeratkan lagi hubungan antara negara anggota dengan gergasi Asia itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun wujud isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, Malaysia yakin mampu memimpin negara-negara ASEAN untuk mengelakkan konflik dengan China.

Iklan
Iklan

"Ya, kita sedar bahawa adanya cabaran, terdapat kawasan bertindih serta isu di Laut China Selatan. Tetapi ada diplomasi mengenainya.

"Semua negara ASEAN mengakui bahawa China adalah jiran kita. Ia sebuah negara besar, mempunyai ekonomi kukuh dan maju dari segi teknologi,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Iklan

Beliau adalah panel pada sesi forum bertajuk ASEAN Dynamics: Capitalising on Opportunities and Navigating Transition.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia tidak menganggap tindakan ketenteraan sebagai penyelesaian kepada pertikaian di Laut China Selatan, namun tetap komited untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanannya di rantau ini.

Iklan

"Kita perlu perkuatkan ketenteraan kita supaya kita dihormati. Tetapi itu bukan jawapan kepada semua masalah kita,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani isu pertikaian ketika ini, Malaysia menggunakan dua pendekatan utama iaitu mengekalkan kehadiran di semua kawasan tuntutan bertindih dan meningkatkan kesedaran domain maritim bagi memastikan rakyat maklum mengenai wilayah dituntut negara.

Mohamed Khaled turut berharap semasa Kepengerusian ASEAN, kemajuan yang signifikan dapat dicapai dalam memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan bagi memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Beliau berkata, walaupun telah menjadi negara rakan kongsi dalam BRICS, Malaysia tidak akan meninggalkan rakan dagangnya seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan lain-lain.

Menurut beliau, penyertaan dalam BRICS memberi Malaysia akses kepada pasaran lebih besar dan sedang berkembang kerana pakatan itu mewakili 45 peratus populasi dunia dan 28 peratus ekonomi global.

"Kita tidak mengabaikan dagangan dan urus niaga berasaskan dolar. Kita tidak ubah apa-apa,” katanya. - Bernama