Ringgit mata wang terbaik dalam kalangan negara Asia pada tahun 2024

Iklan
Ringgit Malaysia mata wang terbaik Asia 2024

RINGGIT muncul mata wang dengan prestasi terbaik di Asia pada tahun 2024 dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

Menurut laporan Bernama, menjelang penghujung tahun, ringgit telah meningkat lebih 2.73 peratus kepada RM4.47 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), satu pencapaian yang mengagumkan berbanding penurunan atau ketegangan mata wang Asia.

Iklan
Iklan

Ketika laporan ini ditulis, mata wang won Korea Selatan mencatatkan kejatuhan paling tinggi berbanding dolar AS, merosot 12.42 peratus, diikuti oleh yen Jepun merosot ketara pada 10.02 peratus dan dolar Taiwan pada 6.75 peratus.

Sementara itu, rupiah Indonesia susut sebanyak 4.54 peratus manakala peso Filipina merosot 4.47 peratus dan yuan luar pesisir China sebanyak 3.26 peratus.

Iklan

Dolar Singapura pula menyusut 3.09 peratus, diikuti oleh yuan China pada 2.73 peratus dan rupee India pada 2.81 peratus.

Baht Thailand mengalami penurunan marginal sebanyak 0.15 peratus manakala dolar Hong Kong adalah satu-satunya mata wang utama Asia yang mencatatkan sedikit peningkatan, sebanyak 0.58 peratus.

Iklan

Mata wang tempatan menghadapi tahun yang penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran berbanding dengan dolar AS sepanjang tahun 2024 tetapi ia telah membuktikan ketahanannya, kembali pulih ke paras tertinggi RM4.12 pada bulan September dari paras terendah RM4.80 pada bulan Februari.

Tahun lalu juga menyaksikan kekuatan ringgit apabila mencatat peningkatan berturut-turut yang paling lama sejak 2010 dengan kenaikan berturut-turut selama 10 hari, ditutup pada RM4.49 berbanding dolar AS pada 2 Ogos.

Pada 30 September, mata wang tempatan itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan berbanding dolar AS pada RM4.1210/1280, didorong oleh jangkaan penurunan seterusnya kadar faedah AS.

Ringgit juga muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik rantau ini pada suku ketiga, mencatatkan kenaikan luar biasa sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar AS.

Selain dasar monetari AS, prestasi ringgit pada 2024 juga dikaitkan dengan gabungan pelbagai faktor, termasuk usaha yang diselaraskan antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan prospek berpotensi ekonomi Malaysia.

Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani telah memainkan peranan penting dalam menyokong dan mengukuhkan ringgit sepanjang tahun.