Pelan baharu perkukuh sistem pendidikan, penuhi keperluan masa depan - Fadhlina

Iklan
Fadhlina ketika sesi forum bertajuk "Education Reform: Raising the Floor" di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelan pendidikan yang baharu dan dirangka untuk memperkukuh lagi sistem pendidikan selaras dengan keperluan masa depan dijangka dilaksanakan pada 2026, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, pelan komprehensif dikenali Pelan Pembangunan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 untuk tempoh 10 tahun itu bertujuan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedia ada yang akan berakhir tahun ini.

Iklan
Iklan

Fadhlina berkata, pelan baharu itu akan memberikan tumpuan kepada pelbagai pembaharuan yang bertujuan meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kerelevanan pendidikan untuk pelajar di seluruh negara.

"Antara bidang utama ialah pemberian autonomi yang berdasarkan garis panduan kepada sekolah, pembangunan pelajar, penerapan dan pelaksanaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Iklan

"Pelan berkenaan juga untuk menangani cabaran seperti buli serta isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan pendidik selain isu berkaitan kesaksamaan dan jurang pendidikan,” katanya pada sesi forum bertajuk"Education Reform: Raising the Floor" di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semua sesi utama libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pakar telah selesai pada bulan lepas dan menjelang penghujung tahun ini proses itu akan memuktamadkan input sebelum ia dilaksanakan.

Iklan

Tahun lepas, Kementerian Pendidikan mempelawa orang ramai mengemukakan cadangan mengenai pelan tindakan baharu itu melalui portal Cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036.

Beliau berkata, Malaysia telah merekodkan pelbagai pencapaian menerusi pelan pendidikan sedia ada termasuk mencapai kadar penyertaan hampir universal untuk Kadar Enrolmen Kasar (GER) pendidikan rendah dan menengah rendah pada 2020, menyaksikan GER masing-masing sebanyak 98.2 peratus dan 95.3 peratus manakala peringkat menengah atas ialah 88.0 peratus.

Mengenai pembangunan kurikulum baharu, Fadhlina berkata, ia akan menumpukan kepada pengukuhan bahasa Inggeris sambil terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menumpukan kepada empat bidang utama: Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta memperluas pendidikan prasekolah.

"Kami juga bakal memperkenalkan kurikulum baharu dan ia akan melibatkan 50-50 penggunaan bahasa, bermakna 50 peratus bahasa Melayu dan 50 peratus bahasa Inggeris. Ini sangat penting untuk mendedahkan anak-anak kita kepada nilai dan penggunaan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris di peringkat awal,” katanya. - Bernama