KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor buaya di sebuah parit air di Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas pada Khamis.
Buaya dari Sungai Kelantan itu dipercayai tersesat ketika banjir akhir November tahun lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kira-kira jam 2.40 pada 1 Januari sebelum bertindak memantau kawasan berkenaan.
"Siasatan mendapati aduan itu berasas berdasarkan maklumat dan gambar buaya yang diberikan oleh pengadu," katanya melalui kenyataan pada Khamis
Beliau memberitahu, pemantauan juga mendapati jarak antara lokasi aduan dan Sungai Kelantan kurang satu kilometer (km).
Jelas beliau, pada 2 Januari lalu satu perangkap buaya dipasang di lokasi terbabit dan pada Khamis (hari ini) buaya itu memasuki perangkap.
"Pemeriksaan dan pengukuran morfologi telah dilaksanakan ke atas haiwan tersebut.
"Operasi pemindahan buaya akan dilakukan segera ke habitat asal yang sesuai dan jauh daripada kawasan penempatan," katanya.
Mohamad Hafid berkata, kejayaan operasi tangkapan itu diharap dapat mengurangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.
"Jangan mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri," katanya.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.