KANGAR - Minat dua rakan kepada kopi menjadi permulaan kepada mereka untuk membuka sebuah kafe yang dikenali Block Caife di tengah bandar Kangar, di sini, hampir dua tahun lalu.
Muhammad Dhirar Ibrahim, 39 dan Muhamad Azri Omar, 33, memulakan perniagaan mereka itu pada Mac 2023 selepas mendapat dorongan daripada rakan-rakan lain yang mempercayai kemampuan mereka.
Dengan bermodalkan RM150,000, mereka memulakan perniagaan tersebut di sebuah kedai di Jalan Pengkalan Asam, Kampung Pengkalan Asam, di sini dengan menyediakan lebih 10 jenis minuman termasuk kopi dan makanan seperti roti.
"Selepas hampir dua tahun, kami tidak menyangka kafe kami mula viral dan menjadi perhatian pengemar kopi yang singgah di bandar Kangar ini.
"Kami bermula dengan minat dengan kopi. Saya beli satu mesin buat minuman kopi di rumah dan ajak kawan-kawan datang ke rumah menikmatinya.
"Idea nak buka kafe ini tercetus bila kami nak cari satu perniagaan untuk kami laburkan. Modal permulaan agak besar kerana membeli mesin penyediaan mesin kopi yang mahal, kami mahu sediakan kopi berkualiti dan premium untuk pelanggan,” kata Muhammad Dhirar kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum memulakan perniagaan tersebut, mereka telah ke Langkawi untuk melihat konsep kafe di pulau pelancongan tersebut.
Jelasnya, mereka mengambil masa sehingga dua bulan untuk meninjau beberapa kafe kopi yang mempamerkan konsep antarabangsa sebelum idea berkenaan diubah dan digunakan di Block Caife.
"Pada awal pembukaan kami mempunyai empat kakitangan, namun kini perniagaan kami semakin berkembang kerana mendapat permintaan tinggi. Sekarang kami mempunyai kakitangan seramai 10 orang bagi membantu menguruskan kafe ini,” ujarnya.
Sementara itu, Muhamad Azri berkata, cabaran terkini yang dihadapi oleh mereka adalah untuk memastikan pengunjung terus setia mengunjungi kafe setiap hari kecuali Khamis bermula jam 5 petang sehingga 1 pagi.
Menurutnya, Block Caife kini mempunyai lebih 30 jenis minuman termasuk kopi selain makanan berat seperti spageti, aglio olio dan chicken chop bagi meraikan permintaan pengunjungnya.
"Kafe ini antara tempat yang menjadi tumpuan dan viral. Kami kini sedang berusaha untuk mengekalkannya dengan sentiasa menambah menu berdasarkan permintaan semasa pelanggan.
"Sumbangan kami untuk sektor pelancongan pula adalah menghidupkan ‘vibe’ di tengah bandar Kangar pada waktu malam.
"Sebelum ini orang datang ke Perlis untuk lalu sahaja untuk ke negara jiran, ke Langkawi tapi sekarang orang dah mula datang untuk singgah dan mencari ketenagan dan menikmati keindahan di Perlis,” katanya yang menjelaskan kafe tersebut bakal membuka sebuah cawangan lagi dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, penganjuran Battle of Buskers yang melibatkan empat kumpulan yang diadakan sempena Jelajah Sinar Untuk Rakyat di kafe itu pada Sabtu lalu juga berjaya menarik perhatian pengunjung yang hadir untuk bersantai dan meninkmati persembahan.
Kumpulan The NGI berjaya mendapat tempat pertama, diikuti 20 Hundred Music di tempat kedua, Lanchang Music di tempat ketiga manakala tempat keempat milik Accara.
Setiap kumpulan muzik ini diberikan tempoh 30 minit untuk membuat persembahan menghiburkan para pengujung Block Caife sambil diadili oleh tiga juri.