KLUANG – Seramai 13 lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di sini, pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut hasil aduan orang awam pada jam 9.45 malam yang mendakwa sekumpulan lelaki warga tempatan merusuh di kawasan bandar.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perang mulut antara dua suspek sejak dua hari lalu sebelum saling mencabar untuk datang ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
"Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis berjaya menahan 13 lelaki sekitar jam 11.15 malam di tiga lokasi berasingan.
"Antara yang ditahan turut melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak lagi bersekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hasil semakan awal mendapati lima daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dan bebas daripada pengaruh sebarang jenis dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai Khamis sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.