1MDB: Surat derma Arab Saudi tidak sebut nama Raja Abdullah

Iklan
Najib Tun Razak

PUTRAJAYA - Mahkamah Tinggi pada Khamis diberitahu bahawa surat yang didakwa diterima Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian derma daripada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah langsung tidak menyebut nama raja itu, sebaliknya kepala surat tersebut hanya menggunakan nama seorang individu yang dikatakan sebagai anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Najib yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraannya berkaitan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.

Iklan
Iklan

Najib turut bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa surat tersebut juga tidak menyebut mengenai pertemuannya dengan Raja Abdullah, yang didakwa sebagai pemberi derma tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini berkata, derma yang diterima di dalam akaun bank AmIslamicnya adalah susulan pertemuan secara peribadi dengan Raja Abdullah di Arab Saudi pada 2010, bagaimanapun kepala surat derma itu menggunakan nama Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud.

Iklan

Kamal Baharin: Semasa pertemuan secara peribadi dengan Raja Abdullah, adakah Saud Abdulaziz turut hadir?

Najib: Dia sendiri tidak hadir.

Iklan

Kamal Baharin: Saya katakan sebenarnya Saud Abdulaziz sebenarnya tidak tahu pun berkaitan pertemuan ini.

Najib: Saya tidak setuju.

Pada perbicaraan sebelum ini, Najib mendakwa bahawa Raja Abdullah dalam pertemuan sama menjanjikan sokongan kewangan kepadanya dan beliau mendakwa empat surat derma Arab yang dikeluarkan antara 1 Februari 2011, hingga 1 Jun 2014 menjanjikannya derma AS$100 juta, AS$375 juta, AS$800 juta dan £50 juta.

Keempat-empat surat itu dialamatkan kepada kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.

Kamal Baharin seterusnya membangkitkan isu percanggahan fakta di mana pernyataan saksi pertama Najib menyatakan wang yang diterimanya adalah ‘bantuan kewangan’, sedangkan di dalam pernyataan saksi keduanya menyatakan wang sama yang diterima adalah ‘derma politik’.

Najib tidak bersetuju dengan cadangan percanggahan itu dan berkata, maksudnya keduanya hampir sama.

Kamal Baharin: Kemudian Datuk Seri nyatakan di dalam pernyataan saksi pertama 'saya difahamkan ia adalah bantuan kewangan'. Kenapa pula difahamkan? Saya katakan, itu sebenarnya hanyalah pemahaman Datuk Seri dan bukannya dinyatakan sendiri oleh Raja Abdullah semasa pertemuan peribadi dengan raja itu.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Najib berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama