KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis menekankan keperluan kerajaan untuk meningkatkan pelaburan bagi langkah pencegahan dan memberi tumpuan terhadap penentu sosial kesihatan (SDH) bagi mewujudkan populasi yang lebih sihat di Malaysia.
Beliau berkata, dasar seperti kempen 'perang terhadap rokok', 'perangi pengambilan garam’ dan 'perangi pengambilan gula’, di samping intervensi awal kanak-kanak dan Agenda Nasional Malaysia Sihat adalah penting untuk meningkatkan keberhasilan kesihatan awam.
Iklan
Iklan
Dr Dzulkefly berharap agar Malaysia terus memberi keutamaan kepada langkah-langkah pencegahan terbabit, sambil menjelaskan walaupun negara telah mencapai kemajuan dalam menyediakan perlindungan kesihatan sejagat dan kewangan, akses kepada penjagaan kesihatan semata-mata tidak memadai.
"Kesihatan bukan hanya berkaitan dengan penjagaan kesihatan, tetapi juga melibatkan peluang, martabat dan keselamatan ekonomi. Kita perlu beralih kepada pencegahan, intervensi awal dan menangani punca utama seperti ketidakjaminan makanan, gaya hidup tidak sihat dan ketidaksamaan sosial,” katanya pada sesi forum bertajuk 'Multidimensional Poverty and Inclusive Future' di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, keberhasilan kesihatan amat dipengaruhi oleh keadaan hidup individu termasuk tempat mereka tinggal, membesar, belajar, bekerja dan menua yang semuanya memainkan peranan penting dalam menentukan hasil kesihatan dalam populasi.
Dr Dzulkefly turut menekankan kepentingan SDH, yang merangkumi faktor seperti perumahan, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, akses kepada makanan berkhasiat, dan peluang untuk melakukan aktiviti fizikal.
"Kita perlu memahami bahawa diakui secara meluas SDH memainkan peranan besar dalam menentukan hasil kesihatan, dengan anggaran sekitar 80 peratus daripada keberhasilan kesihatan," katanya. - Bernama