SHAH ALAM - Tidak ada tempat bagi mereka yang terlibat dalam rasuah untuk bersembunyi di dalam organisasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya akan terus mendedahkan sebarang perlakuan tidak beretika bagi memastikan kredibiliti perkhidmatan pemeriksaan kenderaan Puspakom terjamin dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan syarikat itu.
Menurutnya, Puspakom menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung usaha bersama untuk membanteras amalan rasuah di pusat pemeriksaan kenderaan seluruh negara.
"Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom pada Oktober 2023, saya telah mempergiatkan usaha membanteras rasuah di dalam organisasi ini. Tanpa pembabitan dari SPRM, sudah tentu usaha ini menjadi lebih sukar.
"Kami juga menyeru mana-mana pihak, sama ada dari luar atau dalam Puspakom yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil ke hadapan dan berkongsi maklumat tersebut kepada pihak berkuasa bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, berdasarkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom, pihaknya akan meneliti pusat pemeriksaan lain di seluruh negara.
Ujarnya, matlamat organisasi berkenaan adalah untuk menghapuskan rasuah di pusat-pusat pemeriksaan tersebut.
Dalam pada itu, tambah Mahmood, keselamatan jalan raya adalah usaha bersama yang memerlukan komitmen semua pihak, bukan tanggungjawab Puspakom semata-mata.
"Semua pihak perlu mengutamakan integriti dan keselamatan demi kesejahteraan pengguna jalan raya. Puspakom adalah cuma salah satu pecahan dalam formula keselamatan jalan raya.
"Pemilik kenderaan termasuk syarikat-syarikat, penguat kuasa, agensi kerajaan dan rakyat juga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing secara beretika dalam usaha membanteras kemalangan jalan raya," tegasnya.
Sementara itu, Puspakom turut memberikan penghargaan kepada Azam atas kepimpinan dan dedikasi beliau dalam memperkukuh integriti sistem pemeriksaan kenderaan negara.