SIKAP tidak mengenal rasa puas menjadi faktor utama Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menjadi sebuah pasukan yang digeruni di Malaysia serta ASEAN dan muncul antara kelab terbaik di Asia.
Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar berkata, kejayaan demi kejayaan yang sudah dinikmati Harimau Selatan bukan halangan untuk mereka terus mengembangkan sayap dan memperkukuhkan pasukan.
Menurutnya, kerjasama yang dirancang oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dengan kelab gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan kemahuan Harimau Selatan tidak pernah terhenti dan sentiasa mahukan yang terbaik.
"Inilah dia dalam bola sepak, kita sentiasa perlu belajar. Tunku Mahkota Ismail telah menunjukkan contoh yang baik, walaupun kelab telah bagus dan pengurusan nampak teratur, namun baginda masih mahu untuk memajukan kelab.
"Dalam sukan kita tidak boleh rasa sudah berpuas hati, selagi kita boleh belajar dan memperbaiki kelab, itu yang kita perlu buat. Baginda telah melakukan perkara yang betul.
"Jadi, tidak hairanlah jika JDT mampu jadi terus kuat dan berjaya sebagai sebuah pasukan bola sepak yang disegani dan dalam masa sama turut memberikan kelebihan kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya kepada Sukan Sinar.
Baru-baru ini, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkongsi mengenai pertemuan baginda dengan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi di Qatar.
Baginda berkata, kerjasama antara kedua-dua kelab itu akan berlaku melibatkan hubungan strategik dalam aspek penjenamaan, infrastruktur dan pembangunan akar umbi.
JDT terus gah di pentas domestik apabila juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut itu terus menerajui saingan Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas 16 perlawanan.
Harimau Selatan juga telah mempertahankan trofi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selain masih dalam misi untuk layak ke pusingan seterusnya dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).