Jangan jadi PATI di negara orang

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai segelintir rakyat Malaysia yang sanggup jadi PATI di luar negara.

PERBUATAN segelintir rakyat Malaysia merelakan dirinya menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara luar perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh mencalarkan imej negara pada mata dunia.

Kononnya mahu mencari rezeki di bumi asing bagi meraih pendapatan lumayan apabila gaji atau upah diperoleh ditukarkan dengan ringgit, namun tidak memikirkan kesannya.

Iklan
Iklan

Benar, siapa tidak mahukan pendapatan lebih, tetapi biarlah kerja dilakukan itu bermaruah dan tidak melanggar kedaulatan negara.

Isu ini antara yang menjadi bualan sejak akhir-akhir ini apabila ribuan rakyat Malaysia menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di mana-mana negara sehingga melebihi tempoh dibenarkan pihak berkuasa negara tersebut.

Iklan

Suatu ketika dahulu, ada yang sanggup menjadi pendatang di Australia untuk menjadi sebagai buruh baik di ladang-ladang mahupun sektor perindustrian. Tapi kini, Korea Selatan pula menjadi destinasi tumpuan.

Sebagaimana laporan Sinar Harian pada Khamis, kumpulan ini sanggup mengambil risiko bagi mendapatkan pendapatan hingga RM2,000 seminggu, bahkan mampu mencecah sehingga RM8,000 sebulan.

Iklan

Memang lumayan, malangnya sikap rakyat kita ini menongkah arus dengan melanggar undang-undang negara luar demi menggapai cita-cita peribadi.

Tak terfikirkah mereka sekiranya berhadapan masalah lain seperti ditangkap, mengalami masalah kesihatan atau kematian, semestinya akan melibatkan kos yang tinggi untuk menguruskannya.

Akhirnya, kerajaan terpaksa membantu yang akhirnya perlu mengeluarkan kos besar, malah kerajaan mungkin akan dipersalahkan sesetengah pihak sekiranya lambat membantu.

Tidak terhenti di situ, ia juga dikhuatiri memberi kesan jangka panjang terhadap hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Justeru, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan keras terhadap isu ini. Sekiranya perlu, guballah undang-undang baharu berkaitan rakyat Malaysia yang sengaja melakukan kesalahan di negara orang. Mungkin ini jalan terbaik untuk mengatasi perkara tersebut.

Ingatlah, kita sebagai rakyat Malaysia berpegang kepada prinsip Rukun Negara, salah satunya ialah ‘Kedaulatan Undang-Undang’.

Oleh itu, sepatutnya prinsip tersebut sudah tertanam ke dalam diri dan dibawa ke mana sahaja, walaupun ketika berada di negara orang.