MERAK Jalanan bukanlah nak menyokong, jauh sekali nak membodek restoran mamak. Baru-baru ini, Merak Jalanan ditanya soalan oleh seorang rakan - mengapa restoran mamak sering menjadi pilihan setiap kali kami bercadang untuk makan atau melepak?
Memang tidak dinafikan, restoran mamak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Merak Jalanan mengambil contoh di Lembah Klang, di mana-mana sahaja nampak kelibat kedai mamak. Malah kebanyakan beroperasi 24 jam. Adakah kerana makanannya sedap?
Bagi Merak Jalanan, makanan yang dijual di kedai mamak sama sahaja - nasi kandar, roti canai, mi goreng, teh tarik atau ayam tanduri. Hari ini menu sama, esok pun sama, tulat pun begitu juga. Tak ada beza.
Cuma kalau hari-hari telan menu sama, boleh muak juga dibuatnya.
Pada pendapat Merak Jalanan, salah satu tarikan restoran mamak ialah servisnya. Laju dan pantas. Tak perlu panggil, mereka sudah datang ke meja ambil pesanan. Kita yang datang melepak dengan kawan-kawan pun rasa selesa.
Kadang-kadang rasa seperti dilayan sebagai seorang bos walaupun hanya memesan segelas teh tarik. Kalau ada pelanggan memanggil pekerja restoran banyak kali pun, mereka tak merungut sebaliknya dengan segera datang bertanya apa lagi tambahan pesanan.
Merak Jalanan juga melihat restoran mamak mengamalkan ekosistem perniagaan yang sihat. Mereka boleh bersaing sesama sendiri seperti sebuah keluarga besar dan boleh duduk dalam satu ikatan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).
Di sesetengah kawasan, ada sampai empat atau lima restoran mamak yang bersaing sesama sendiri. Walaupun begitu, kelima-lima restoran tetap meriah dengan orang ramai.
Mungkin kerana persaingan sihat itulah menyebabkan perniagaan mereka berkat. Inilah yang peniaga Melayu kena ikut. Bukan hantar santau bila restoran sebelah maju!