Penunggang motosikal, pejalan kaki maut kemalangan

Iklan
Motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan One Borneo berhampiran Plaza Alam Mesra, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Dua lelaki termasuk pejalan kaki maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal di Jalan One Borneo, berhampiran Plaza Alam Mesra di sini pada malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, penunggang motosikal berusia 23 dan pejalan kaki berusia 43 masing-masing mengalami kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia di lokasi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha LC bersama pemboncengnya dipercayai datang dari arah Jalan Sepanggar menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu dengan menggunakan lorong tengah jalan raya.

Pejalan kaki antara yang maut dalam kemalangan di Jalan One Borneo berhampiran Plaza Alam Mesra, Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba pejalan kaki tersebut berlari melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dipercayai untuk menyeberang jalan ke rumah sewa di Kampung Penampang Laut yang terletak di seberang jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya lagi, penunggang motosikal tidak sempat mengelak pejalan kaki menyebabkan motosikal bersama penunggang dan pembonceng terbabas sejauh tujuh meter.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan pejalan kaki mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng cedera ringan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut," katanya.

Iklan

Kasim berkata, hasil siasatan lanjut kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pejalan kaki itu sendiri.

"Tidak jauh dari lokasi kejadian terdapat jejantas untuk laluan pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa tersebut," katanya.

Kasim bagaimanapun berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.