SHAH ALAM - Bermula sebagai guru dan pelajar, seorang wanita kini bertukar gelaran menjadi menantu kepada pengetuanya sendiri apabila dilamar pada tahun 2015.
Nur Syahkila Ahmad Mustafa berkongsi cerita, 10 tahun lepas ketika berada di Tingkatan Empat dia mempunyai satu hobi iaitu menjual puding karamel.
Cerita wanita berusia 29 tahun itu, tidak disangka puding itu kerap ditempah dan dibeli oleh pengetua sekolah kerana disukai anaknya.
"Pengetua (sekarang mentua) kata anaknya suka makan. Anak yang suka makan puding roti caramel itulah suami saya yang sekarang.
"Alhamdulillah, sekarang kami dikurniakan tiga orang anak," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, berkongsi detik perkenalan bersama suaminya, Nur Syahkila memberitahu, peristiwa manis itu bermula apabila pengetua melamarnya secara tidak rasmi ketika hadir ke sekolah untuk mendapatkan salinan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Jelasnya, lamaran itu tidak dijawab sehingga suaminya menghantar permintaan menjadi rakan di 'Facebook'.
"Selepas dua tahun habis SPM saya ke sekolah sebab ada urusan, masa itu ada pengetua, dia tanya sama ada sudah berpunya atau tidak dan dia menyatakan hasrat untuk menjadikan saya menantunya.
"Puas saya fikir dan ceritakan kepada ibu, alhamdulillah ibu bagi maklum balas positif namun selepas kejadian itu saya dan pengetua tidak bersua muka sehingga suami hantar pesanan untuk berkawan di Facebook.
"Dari situ kami berkawan dan mula berkenalan. Selepas enam bulan kami selamat diijabkabul," ujarnya.
Ditanya mengenai apa yang membuatkan Nur Syahkila jatuh hati kepada suami, dia berkata, perwatakannya yang sentiasa mengormati dan menjaga adab ketika berdepan dengan ibu bapa.
"Bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah apabila kedua-dua keluarga memberi sokongan dan restu kepada kami, itu yang membuatkan saya terharu dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata," jelasnya.