MENYEDIAKAN hidangan mi segera untuk dinikmati memang mudah walaupun sekadar merendamnya dengan air panas.
Di sebalik itu, rupanya proses menghasilkan mi segera halal agak renyah. Bayangkan, terdapat lebih 30 bahan mentah perlu dipastikan halal, selain menitikberatkan soal kualiti dan keselamatan dalam pemprosesannya.
Demikian fakta dikongsikan oleh Pengarah Hal Ehwal Islam & Hubungan Kerajaan Mamee-Double Decker Distribution (Malaysia) Sdn Bhd (Mamee-Double Decker), Ahmad Syukry Ibrahim mengenai bahan mentah digunakan dalam penghasilan produk mi segera jenama Mamee.
Jenama produk itu sebelum ini dikenali sebagai Lucky sejak syarikat diasaskan pada 1971 dan dijenamakan semula sebagai Mamee tahun 1974.
"Jenama Mamee lebih mudah dikenali dan berkait rapat dengan produk utama kami iaitu mi segera. Nama Mamee itu sendiri juga memberikan identiti lebih unik dan sesuai dengan perkembangan syarikat yang turut mengeluarkan produk-produk lain selain mi segera.
"Sejak pertukaran nama, Mamee telah menjadi jenama yang kuat dan dikenali di Malaysia dan luar negara dengan penghasilan pelbagai jenis makanan serta minuman halal.
"Selepas memperoleh pengesahan halal, berlaku peningkatan jualan produk yang mendadak dan memberi kesan positif kepada pendapatan tahunan syarikat yang mencecah RM1.5 bilion pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bermula dengan produk mi segera, Mamee-Double Decker kini mempunyai lebih 200 unit penyimpanan stok (SKU) yang menerima SPHM daripada Jakim dan ada juga produk keluarannya mempunyai pensijilan halal dari Indonesia.
Antara segmen produk dikeluarkan syarikat itu termasuklah pembuatan mi segera, snek mi, makanan ringan berasaskan kentang dan jagung, minuman berperisa serta perkhidmatan makanan yang menembusi pasaran lebih 80 buah negara merangkumi Asean, Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Timur Tengah dan Afrika.
Cabaran
Meskipun ia bukanlah makanan utama bagi masyarakat Malaysia, Mamee-Double Decker sentiasa memastikan setiap produk dihasilkan memenuhi keperluan sistem jaminan halal dan segala prosedur operasi standard halal dipatuhi setiap masa.
Hidangan snek itu sering menjadi tumpuan kebanyakan orang terutama dalam kalangan pengguna Islam.
Dalam menghasilkan produk snek yang sedap, berkualiti dan halal, ujar Ahmad Syukry, cabaran terbesar adalah untuk memperoleh sumber bakalan bahan mentah yang dipersijilkan halal daripada badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.
"Seawal proses carian bahan mentah lagi, kami perlu pastikan semua yang digunakan mempunyai pensijilan halal. Tidak semua badan pensijilan halal di luar negara diiktiraf oleh Jakim.
"Walaupun terdapat bahan mentah yang lebih murah, jika tiada pengesahan halal daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim, kami tidak akan gunakannya dalam proses di kilang kami," katanya sambil menjelaskan pihaknya mengelakkan penggunaan bahan berasaskan organisme ubah suai genetik (GMO).
Itu baru satu SKU. Belum lagi mengambil kira ratusan produk lain yang dihasilkan oleh Mamee-Double Decker termasuklah produk baharu yang biasanya memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan melalui proses penyelidikan dan pembangunan.
Bayangkan ribuan bahan mentah perlu disemak satu persatu dengan teliti demi memastikan penghasilan makanan dan minuman yang halal, sedap dan selamat untuk dinikmati oleh semua pengguna.
Sistem jaminan halal dalaman
Ia bagi memastikan bahan mentah yang diperoleh daripada pembekal dari dalam dan luar negara tidak bercampur dengan bahan haram, terlarang atau bahan yang boleh mencemarkannya.
"Semua pensyaratan ini jelas diletakkan dalam perjanjian kami bersama pihak pembekal supaya mereka cakna untuk menggunakan logistik yang selamat daripada sebarang pencemaran bahan haram.
"Selepas sampai ke tempat kami, sekali lagi kami akan buat pemeriksaan pada kontena atau lori yang membawa bahan mentah,” katanya tentang kawalan dilakukan pihaknya bagi menjamin status halal produk dihasilkan, di samping melakukan pemeriksaan berkala ketika pemprosesan produk menerusi amalan sistem jaminan halal dalaman.
Lebih empat dekad Mamee-Double Decker dalam pasaran, Ahmad Syukry mengakui, banyak pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan oleh Jakim.
Jika 10 tahun lepas, katanya, untuk memperoleh kelulusan halal mengambil masa yang lama. Adakalanya mencecah empat hingga enam bulan.
"Selepas itu, berlaku penambahbaikan dengan adanya inisiatif seperti 'whitelist' (pengiktirafan Jakim/ Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kepada syarikat atau pemegang SPHM yang komited dengan syarat-syarat pensijilan halal Malaysia), kelulusan halal dapat diperoleh dalam tempoh kurang dua bulan dan sebulan.
"Dengan sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihak berkuasa telah mewujudkan satu inisiatif untuk menyelesaikan permohonan halal dalam tempoh 15 hari sahaja yang dapat membantu pihak industri mempercepatkan produk memasuki pasaran asalkan memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.