Perdana Menteri Jepun diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Iklan
Shigeru Ishiba diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, pada Jumaat.

Ini adalah lawatan pertama Ishiba ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Oktober 2024. Beliau disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada jam 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Iklan
Iklan

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai oleh Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Iklan

Ishiba, kemudian menandatangani buku pelawat sebelum bertemu Anwar.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar dan Ishiba dijangka meneliti semula kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia serta kerjasama dalam bidang tenaga.

Iklan

Mereka juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk situasi di Timur Tengah

Jepun ialah rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.

Projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.

Jepun juga adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (AS$34.41 billion) pada 2023. - Bernama