SEBARANG urusan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) perlu dilakukan sendiri oleh pihak syarikat dan bukannya melalui ejen atau konsultan, ujar Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Menurut beliau, urusan yang dilakukan oleh ejen atau konsultan boleh menyebabkan pihak syarikat terpaksa membayar mereka dengan harga yang mahal.
"Kos untuk mendapatkan SPHM hanya RM100 setahun dan sijil ini diiktiraf oleh masyarakat Malaysia dan masyarakat dunia.
Dr Sirajuddin mendedahkan, ejen atau konsultan mengambil bayaran sehingga RM5,000 untuk satu permohonan SPHM walaupun mereka hanya membayar RM100 kepada Jakim untuk yuran.
"Ada juga konsultan yang dibayar RM1,500 setiap bulan bermula dari permohonan SPHM dibuat hingga sijil itu tamat,” jelasnya.
Katanya, Jakim ada mengeluarkan pekeliling memaklumkan kepada semua syarikat pemohon bahawa Jakim tidak mengiktiraf sebarang ejen atau pun konsultan untuk berurusan dengannya dan Jakim hanya berurusan dengan syarikat pemohon sijil SPHM.