JOHOR BAHRU - Empat individu termasuk seorang pengarah dan setiausaha syarikat swasta yang dipercayai bertindak sebagai anggota sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah ditahan pada Khamis malam.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berkata, empat suspek lelaki berusia antara 49 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 malam.
Iklan
Iklan
Difahamkan, tangkapan ke atas keempat-empat individu itu dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di dalam urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 Kanun Tanah Negara (KTN).
"Permohonan itu adalah untuk mendapatkan Geran Hakmilik yang baharu daripada Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan dalam geran yang membabitkan beberapa dokumen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pagi Jumaat bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.