BERA - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila parang diacu ke lehernya sebelum disamun dua lelaki di Kampung Batu Bor, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 66 tahun berada di dalam bilik air sebelum terdengar bunyi seperti ketukan pada pintu bahagian dapur.
Menurutnya, secara tiba-tiba dua individu tidak dikenali dan memakai penutup muka memasuki rumah serta menyuruh mangsa keluar dari tandas.
"Kedua-dua suspek bertindak mengikat kedua tangan pengadu di kerusi dan meletakkan sebilah parang di leher pengadu sambil mengugut akan membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising.
"Suspek kemudiannya telah memaksa pengadu memberitahu di mana barang kemas, duit serta kunci kereta sebelum mangsa memberitahu ia berada di dalam bilik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, suspek kemudian menggeledah bilik terbabit dan mengambil wang tunai kira-kira RM1,000, dua telefon bimbit jenis Oppo, satu kunci Honda HRV serta dompet yang mengandungi kad pengenalan, kad bank dan kad pesara.
Jelasnya, ketika kejadian suami mangsa menunaikan solat Jumaat di masjid.
"Selepas kedua-dua suspek memperolehi barang tersebut, mereka bertindak melarikan diri melalui pintu bahagian dapur dan meninggalkan pengadu dalam keadaan terikat.
"Sebilah parang yang digunakan salah seorang suspek telah ditinggalkan kerana senjata itu kepunyaan suami pengadu," tambahnya mangsa tidak mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa, memaparkan kelibat suspek yang memakai topeng telah mengumpil pintu bahagian belakang rumah terbabit.
Katanya, kes dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
.