Perkukuh rantaian bekalan kosmetik halal

Iklan
PENINGKATAN permintaan pengguna terhadap produk yang mematuhi prinsip Islam semakin bertambah dari masa ke masa. Foto CANVA/Gambar kecil: DR RISYAWATI

Bekalan domestik halal jadikan pematuhan, kebolehkesanan status halal lebih mudah, berintergriti dan lebih stabil

INDUSTRI kosmetik halal Malaysia sedang mengalami pertumbuhan yang luar biasa, didorong oleh peningkatan permintaan pengguna terhadap produk yang mematuhi prinsip Islam.

Saiz pasaran kosmetik halal pada 2022 ialah AS$3.64 bilion (RM16.43 bilion) dan pakar industri meramalkan ia boleh meningkat sehingga lebih AS$8.5 bilion (RM38.36 bilion) menjelang 2032 pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 9.11 peratus.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, di sebalik angka yang menggalakkan ini, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kosmetik tempatan.

Pembekal proaktif dalam menyediakan sijil halal untuk semua bahan mentah yang diperlukan untuk pembelian pukal, walaupun begitu pengilang kecil bergelut untuk mendapatkan bahan mentah yang sama dalam kuantiti yang lebih kecil.

Iklan

Pengilang kecil dan sederhana menghasilkan kosmetik dalam kelompok kecil tidak mampu membeli bahan mentah dalam kuantiti yang banyak kerana kekangan kewangan.

Selain itu, penyimpanan berlebihan bahan mentah dengan tarikh luput juga melibatkan risiko kerugian yang ketara, melebihi prestasi perniagaan yang dijangkakan oleh perusahaan kecil dan sederhana.

Iklan

Kebanyakan pembekal melihat proses ini sebagai rumit, mendatangkan pelbagai cabaran teknikal dan memerlukan pengurusan logistik tambahan yang bakal meningkatkan kos kepada para pembekal.

Pembekal juga tidak menganggap pembungkusan semula berbaloi kerana operasi mereka juga perlu melalui proses pensijilan halal berasingan dan mereka tidak boleh lagi bergantung kepada sijil halal yang telah diterima daripada pengeluar asal bahan mentah tersebut.

DENGAN beralih kepada pengeluaran bahan mentah, pengeluar tempatan boleh menangani isu ini secara langsung dalam rantaian bekalan bahan mentah kosmetik. Foto CANVA

Bagi perniagaan kecil dengan keperluan yang lebih kecil, kekurangan pilihan ini menimbulkan halangan yang ketara untuk mendapatkan bahan mentah yang terjamin dan diperakui halal.

Pensijilan halal pembungkusan semula

Disebabkan isu ini, pengilang PKS terpaksa membeli dalam kuantiti yang banyak untuk memastikan setiap bahan mentah yang diperoleh mempunyai sijil halal.

Bagi perniagaan kecil, keperluan untuk membeli dalam kuantiti yang banyak mewujudkan tekanan kewangan dan mengehadkan keupayaan mereka untuk berinovasi dan mengembangkan rangkaian produk sedia ada.

Perubahan strategik kukuhkan industri kosmetik halal

Pendekatan strategik baharu boleh menyediakan penyelesaian dengan menggalakkan pengeluar tempatan beralih daripada menghasilkan produk kosmetik siap kepada proses pengilangan menghasilkan bahan mentah kosmetik halal.

Anjakan itu berpotensi untuk mengubah rantaian bekalan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kosmetik halal.

Dengan beralih kepada pengeluaran bahan mentah, pengeluar tempatan boleh menangani isu ini secara langsung dalam rantaian bekalan bahan mentah kosmetik, antaranya:

1) Bahan halal mampu milik

Pengilang tempatan berupaya menawarkan bahan mentah kosmetik yang disahkan halal pada harga dan jumlah yang berpatutan, mengurangkan tekanan kewangan ke atas PKS dan memudahkan untuk mematuhi peraturan penghasilan produk halal.

2) Proses pembungkusan semula yang diperakui halal

Mewujudkan kemudahan pembungkusan semula yang diperakui halal bagi memastikan pengeluar boleh mendapatkan kuantiti produk yang lebih kecil tanpa menjejaskan pematuhan terhadap pensijilan halal.

3) Mengurangkan pergantungan import

Pengeluaran domestik bahan mentah untuk industri kosmetik halal akan mengurangkan pergantungan kepada bahan mentah impot yang mahal dan menjamin integriti bekalan bahan mentah halal.

Malah pertumbuhan subindustri ini mampu menggalakkan lagi aktiviti inovasi dan R&D dalam kalangan pencipta-pencipta tempatan dan menyuburkan penggunaan sumber tempatan sebagai input kepada industri kosmetik Malaysia.

Reka bentuk semula rantaian bekalan

Dengan mengeluarkan bahan mentah mereka sendiri, pengilang tempatan boleh mengawal kos, kualiti dan proses pensijilan seterusnya menghapuskan limitasi rantaian bekalan mereka.

Kebangkitan pengeluar bahan mentah kosmetik tempatan akan mewujudkan ekosistem halal yang berkembang maju dan menggalakkan kerjasama dan inovasi merentas industri.

SALAH satu cabaran terbesar bagi pengeluar kosmetik tempatan ialah beban kewangan untuk mendapatkan bahan mentah yang disahkan halal dalam kuantiti yang kecil. Foto CANVA

Rantaian bekalan domestik yang memenuhi piawaian halal mampu menjadikan pematuhan dan kebolehkesanan status halal lebih mudah, berintegriti dan lebih stabil.

Kekuatan sistem perlaksanaan halal menjamin Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran global untuk pelbagai produk halal termasuk bahan mentah yang jelas menjadi tarikan pembeli antarabangsa yang mencari pembekal yang boleh dipercayai.

Ketersediaan bahan mentah yang diperakui halal pada harga mampu milik memberi sumber alternatif yang menarik untuk pengilang kecil bagi meningkatkan pengeluaran dan membangunkan produk inovatif.

Peralihan pengilang tempatan daripada pengeluar kosmetik kepada pengilang bahan mentah industri kosmetik mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih besar, menggalakkan pelaburan dan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi halal.

Untuk mencapai visi ini memerlukan kerjasama antara pihak berkepentingan industri, agensi kerajaan dan institusi kewangan.

Memperkemaskan proses pensijilan halal untuk bahan mentah dan kemudahan pembungkusan semula juga akan memudahkan rantaian bekalan halal untuk mencapai pematuhan pensijilan.

***PROFESOR MADYA DR RISYAWATI MOHAMED ISMAIL merupakan Pengarah, Unit Penyelidikan Jaminan Makanan, Inovasi dan Pembangunan (Finder), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia