WASHINGTON - Kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah Los Angeles pada Khamis telah memusnahkan lebih 54 batu persegi kawasan, meranapkan ribuan struktur dan mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa, lapor United Press International (UPI).
Lebih 179,000 penduduk berada di bawah perintah pemindahan setakat petang Khamis, sementara ramalan cuaca melanjutkan amaran merah sehingga jam 6 petang waktu tempatan (PST) pada Jumaat di daerah Los Angeles dan Ventura.
Menurut CBS News, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan angin Santa Ana berkelajuan sehingga 55 batu sejam dengan tiupan angin sehingga 70 batu sejam akan terus menyemarakkan api sepanjang malam sehingga Jumaat.
Kebakaran Palisades, Eaton dan Sunset membebankan pasukan bomba yang bekerja keras untuk mengawal kebakaran.
Keadaan darurat masih berkuat kuasa di bandar dan daerah Los Angeles, dengan semua sekolah di kawasan itu ditutup dan kualiti udara tidak sihat turut menjejaskan kawasan lain.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden meluluskan perisytiharan bencana persekutuan untuk California pada Rabu dan pada Khamis mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan menanggung semua kos awal tindak balas bencana selama enam bulan akan datang, lapor ABC News.
"Kami bersama anda. Kami tidak akan ke mana-mana. Kepada anggota bomba dan penyelamat, anda adalah wira kami,” kata Biden pada Khamis.
Beliau berkata dana persekutuan itu akan menampung kos pembersihan, tempat perlindungan sementara dan bayaran kepada anggota penyelamat.
Biden juga memaklumkan bahawa beliau menugaskan 400 anggota bomba persekutuan, 30 pesawat pemadam kebakaran persekutuan dan aset lain ke daerah Los Angeles untuk membantu memadamkan kebakaran hutan itu.
Presiden itu turut membatalkan lawatannya ke Itali, menurut kenyataan Rumah Putih pada Khamis. - Bernama/UPI