SABAH kini telah lengkap untuk memberi saingan dalam Liga Super apabila mengikat satu lagi pemain import baharu iaitu pemain tengah dari Namibia, Petrus Shitembi.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, ketika mengumumkan perkara itu berkata, Petrus menandatangani kontrak selama setahun dengan persatuan itu dan kehadirannya bakal memperkuatkan lagi bahagian tengah skuad Tambadau.
"Kita telah membuat keputusan untuk melengkapkan kuota pemain import dengan membawa masuk Petrus yang dilihat mempamerkan aksi memberangsangkan ketika pramusim di Indonesia, baru-baru ini," katanya dalam sidang media di pejabat SAFA di sini hari ini.
Petrus, 27, yang sebelum ini bermain dengan Lusaka Dynamos di negara asalnya mempamerkan aksi lincah bersama Sabah di Indonesia, baru-baru ini sehingga menjadi buah mulut para penyokong Sabah yang rata-ratanya memuji persembahan dipamerkannya.
Sebelum ini empat kuota import Sabah sudah diisi dua pemain import yang dikekalkan dari skuad musim lalu iaitu Park Tae-Su (pertahanan dari Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (penyerang dari Serbia).
Dua muka baharu yang baharu diserapkan ialah bekas import Sabah 2018 iaitu Hector Omar Ramos Lebron atau lebih dikenali sebagai Pito (penyerang dari Puerto Rico) dan Dennis Buschening (penyerang tengah kacukan Thailand-Jerman).
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran pasukan pada musim ini, Peter berharap pasukan Sabah dapat memberikan saingan sengit dalam saingan Liga Super dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala.
"Ia bukan tugas mudah namun saya yakin dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto untuk membentuk satu pasukan yang mantap.
"Saya juga akui keputusan pramusim di Indonesia, baru-baru ini, tidak begitu memihak kepada kita tetapi keputusan di sana bukanlah perkara penting kerana apa yang lebih penting ialah keputusan pada saingan liga sebenar nanti," katanya. - Bernama