BESUT - Pengunjung menyambut baik usaha kerajaan membina kolam dan laluan khas wanita di Kolam Air Panas La atau La Hot Spring dekat Jertih, di sini bagi mengasingkan pengunjung lelaki dan wanita.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengunjung menyatakan langkah pengasingan itu tidak memberi halangan untuk mereka berkunjung ke lokasi tersebut bersama keluarga dan rakan-rakan.
Malah, ada antara mereka menyifatkan langkah itu lebih memberi keselesaan kepada golongan wanita yang ingin menikmati air panas bagi tujuan penjagaan kesihatan.
Menurut seorang pengunjung, Mohd Azmi Him, 47, dari Kampung Panjang Perupok, Bachok, Kelantan, usaha kerajaan itu amat baik terutama bagi pengunjung yang datang ke situ bersama bukan ahli keluarga.
"Bila buat pengasingan begini, ia sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya aurat terbuka dan menjadi tontonan kepada golongan lelaki.
"Kalau yang datang bawa keluarga pun bagi saya tiada masalah kerana kita masih boleh terima perubahan yang dilakukan ini.
"Tempat-tempat lain yang saya pernah pergi sebelum ini tiada pengasingan lelaki perempuan di kawasan kolam. Hanya di Terengganu dan Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Bagi Nurul Asyikin Kamarulzaman, 24, dari Bachok, Kelantan, usaha itu lebih menjaga bahagian peribadi wanita daripada terdedah kepada umum.
"Langkah ini wajar kerana tidak ada percampuran antara lelaki dan perempuan malah ia lebih memberikan privasi kepada kaum wanita memandangkan kolam air panas sedia ada agak terhad dan akan lebih sesak sekiranya bercampur lelaki dan wanita," ujarnya.
Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi La Hot Spring, Zahani Akima Farha Mohd Yusoff pula berkata, pengasingan pengunjung lelaki dan wanita di kawasan itu memberi imej baharu kepada lokasi tumpuan pengunjung itu.
"Langkah ini lebih menjaga golongan wanita dan memberikan keselesaan untuk mandi dan rendam kaki, jadi tidak terdedah aurat bahagian badan atau kaki mereka kepada golongan bukan mahram.
"Setakat ini kita juga tidak menerima reaksi negatif daripada pengunjung berhubung usaha ini malah kebanyakan daripada mereka menyifatkan ia adalah usaha yang baik," katanya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, proses pengasingan antara pengunjung lelaki dan wanita di kolam air panas itu kini di peringkat akhir dan akan dilaksanakan pada tahun ini.
Jelasnya, ia adalah proses menambah baik memandangkan infrastruktur di kawasan kolam air panas tersebut agak sempit.
La Hot Spring terletak kira-kira 125 kilometer dari Kuala Terengganu.
Ia merupakan antara destinasi wajib singgah dan merupakan merupakan kawasan riadah yang digemari penduduk tempatan serta yang berada berdekatan seperti di Kelantan.