Mayat warga emas ditemukan reput dalam rumah

Iklan
Anggota bomba membuka pintu rumah mangsa di Taman Serindit yang berkunci.

ALOR SETAR - Seorang warga emas ditemukan terbaring di atas katil seorang diri dalam keadaan mereput di rumahnya di Taman Serindit, Jalan Langgar di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima maklumat sekitar jam 4.03 petang melalui Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, panggilan dibuat oleh jiran lelaki berusia 68 tahun itu yang berasa curiga setelah mendapati dia tidak keluar rumah sejak beberapa hari yang lalu.

Anggota polis dan bomba memasuki rumah mangsa selepas dihubungi jirannya yang terhidu bau busuk.

"Pada hari kejadian jirannya terhidu bau busuk dari rumah berkenaan. Khuatir sesuatu berlaku, jirannya kemudian bertindak menghubungi polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, teka-teki bau busuk itu terjawab apabila polis menemui warga emas terbabit meninggal dunia dalam keadaan berbaring di atas katil dalam bilik rumahnya.

"Lelaki tersebut dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput,” katanya.

Iklan

Siti Nor Salawati berkata, berdasarkan temubual dengan jirannya, warga emas terbabit merupakan seorang bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut.

"Dia kebiasaannya akan keluar setiap pagi untuk membeli sarapan dan gemar menyendiri serta kurang bergaul dengan kejiranan.

"Tetapi difahamkan dia sering menerima rawatan di hospital berdekatan bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapinya,” ujarnya.

Jelas beliau, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kematian mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.