PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan dua hala dengan meneroka pelbagai bidang tenaga baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia antaranya memuktamadkan kerjasama dalam sektor tenaga hidrogen yang dijangka selewat-lewatnya Mei depan.
Menurutnya, inisiatif terbaharu yang dipelopori Sarawak itu melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petronas.
"Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) juga ada di sini memberi jaminan.
"Dengan sokongan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, Insya-ALLAH ia dapat dicapai pada akhir Mei dalam pertemuan di Tokyo atau Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Shigeru di sini sempena lawatan pertama Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia pada Jumaat.
Jelasnya, sebagai langkah kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam sektor tenaga, kedua-dua negara turut membincangkan mengenai pembentukan Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura.
Ia termasuk sambungan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung serta Singapura.
"Ini tentunya memerlukan penyertaaan Jepun selain negara yang terlibat," jelas Anwar.
Ujarnya, kerjasama Jepun dalam loji pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktik (NR-REE) turut dibincangkan dalam pertemuan empat mata yang berlangsung selama satu jam.
"Saya juga telah membangkitkan mengenai penglibatan Jepun dalam loji pemprosesan NR- REE," katanya.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan terhadap Jepun berkaitan kerjasama Petronas dan Shikoku Electric Power Company Inc yang terjalin sejak sekian lama.
"Petronas sedang melaksanakan pengawalan dan penyimpanan karbon melalui dasar tenaga bersih termasuk penghantaran gas asli cecair (LNG) neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas," kata Anwar.
Terdahulu Shigeru dan isteri, Yoshiko Ishiba diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra dalam lawatannya selama dua hari.
Ketibaannya disambut Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekitar jam 9.02 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dan diketuai oleh Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.
Sejurus kemudian, kedua-dua pemimpin itu menyertai mesyuarat bersama deligasi yang turut dihadiri oleh anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Jepun ialah rakan ekonomi utama bagi Malaysia dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.
Projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (AS$30.4 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.
Jepun juga adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (AS$34.41 billion) pada 2023.