Kumpulan EMKAY, Global Net Travel meterai MoU laksana projek vila terapung di Belum

Iklan
Fazwinna (duduk, dua dari kiri) bersama Yu Ken (duduk, dua dari kanan) ketika menandatangani MoU di Menara Mustapha Kamal, Petaling Jaya pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

PETALING JAYA - Kumpulan EMKAY dan Global Net Travel Sdn Bhd mengorak langkah baharu dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan projek vila terapung di Belum, Perak yang dijangka mula beroperasi pada 2027.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Datuk Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal berkata, pelaburan bernilai RM20 juta itu bakal melonjakkan profil ekopelancongan Perak sekali gus mengangkat Belum sebagai destinasi bertaraf dunia dalam konteks pelancongan mampan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, vila terapung yang belum dinamakan itu menjanjikan gabungan elemen mewah dan kelestarian serta bakal dibina di Tasik Temengor dalam kawasan Hutan Simpan Belum kira-kira dua kilometer (KM) daripada pusat tarikan lain.

"Ia diinspirasikan daripada sebuah resort terkenal di Kanchanaburi, Thailand yang direka oleh Dersyn Studio. Bukan itu sahaja, vila ini akan menjadi karya seni bina yang seimbang dengan persekitaran semula jadinya dan boleh dibanggakan rakyat Malaysia.

Iklan

"Kita bukan sahaja mahu mempelawa rakyat Malaysia ke sini, tetapi beritahu kepada dunia bahawa kita jaga hutan kita lebih daripada mereka. Projek istimewa ini dijangka ambil masa sekitar dua tahun.

"Banyak faktor dititikberatkan dari segi keselamatan, kelestarian kawasan setempat, ketersampaian, komunikasi dan lain-lain. Setiap struktur yang dibangunkan bukan setakat kalis cuaca, kita pastikan ia juga kalis hidupan liar memandangkan vila ini di tengah hutan hujan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani MoU antara Kumpulan EMKAY dan Global Net Travel Sdn Bhd di Menara Mustapha Kamal di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EMKAY, Jayasangaran Dhanapal; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Perak, Nurmalis Musa serta Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong.

Sementara itu, Pengarah Urusan Global Net Travel Sdn Bhd, Chong Yu Ken memaklumkan, pihaknya selaku penyedia infrastruktur bagi vila terapung itu akan menggunakan kepakaran Dersyn Studio juga berikutan prestasinya yang cukup memberangsangkan.

Katanya, vila terbabit disifatkan sebagai komitmen berterusan dalam mempamerkan kekayaan dan ketenangan alam semula jadi.

"Kami berhasrat untuk menawarkan pengalaman yang memberikan ketenangan dan jauh daripada hiruk-pikuk kota. Dalam masa sama, ada elemen pengembaraan, keselesaan serta kelestarian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perak, Loh Sze Yee berpandangan, projek tersebut mampu mengukuhkan lagi kedudukan negeri berkenaan sebagai destinasi ekopelancongan utama dalam negara.

Menurutnya, komuniti memperoleh manfaat signifikan dari aspek peluang pekerjaan dan rangsangan perniagaan yang berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi tempatan.

"Kolaborasi ini tidak hanya memberi manfaat buat pelabur dan pemaju kawasan tersebut, malah masyarakat Hulu Perak.

"Justeru, saya berterima kasih kepada Kumpulan EMKAY dan Global Net Travel Sdn Bhd. Tidak dilupakan juga buat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana memperkenankan dan menyokong kerjasama ini.

"Visi baginda terhadap pembangunan ekopelancongan di Belum benar-benar menginspirasikan kita semua,” kata Sze Yee.