ALOR GAJAH - Bekas guru besar didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini pada Jumaat atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita di sebuah sekolah rendah tahun lalu.
Tertuduh, Mohammed Mohd Som, 58, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Majistret Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berumur 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tandas kelas pra sebuah sekolah kebangsaan di Lubok China kira-kira jam 10.40 pagi pada 16 Ogos tahun lalu.
Lelaki itu turut berdepan dua pertuduhan memeluk dan mencium dahi wanita itu dalam sebuah kereta di hadapan premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya di sini, kira-kira jam 11 malam pada 30 Julai dan 18 Januari 2024.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri, mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon jumlah jaminan yang rendah iaitu RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan tertuduh tidak lagi menjadi guru di sekolah itu namun telah ditukarkan ke Jabatan Pendidikan negeri.
Hujahnya lagi, pengadu pula tidak lagi berada di sekolah itu dan merupakan bekas guru pelatih.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kesemua tiga pertuduhan dan sebutan semula kes pada 6 Mac depan.