Keluarga mangsa dihempap pokok, binaan konkrit kemuka saman RM1.7 juta

Iklan
Kian Nam (kanan) menunjukkan notis tuntutan ketika panggilan video bersama keluarga mangsa di pejabatnya.

BAYAN LEPAS - Keluarga dua beranak warga China yang maut dihempap binaan konkrit di sebuah muzium di Lebuh Gereja, di sini pada 18 September tahun lalu memfailkan notis tuntutan saman sebanyak RM1.7 juta terhadap lima pihak termasuk pemilik tanah muzium berkenaan.

Peguam keluarga berkenaan, Ng Kian Nam berkata, notis tuntutan saman tersebut juga akan membabitkan pengendali/pengurus muzium, pemilik tanah di mana pokok membesar, agensi pelancongan serta pemandu pelancong yang dilantik.

Iklan
Iklan

"Kita menamakan operator muzium, Pinang Peranakan Mansion Sdn Bhd sebagai pihak pertama, pemilik tanah muzium, SSM Capital Sdn Bhd (pihak kedua) sementara pemilik tanah di mana pokok membesar, Sri Kumaran's Textile Sdn Bhd sebagai pihak ketiga.

"Pihak keempat adalah agensi pelancongan, Pony Holiday Sdn Bhd manakala pihak kelima adalah pemandu pelancong, Har Kwai Leng," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini pada Jumaat.

Iklan
Dua beranak maut dalam kejadian di Lebuh Gereja yang berlaku pada 18 September tahun lalu.

Tambahnya, notis tuntutan saman tersebut dikeluarkan pada Jumaat untuk dijawab dalam tempoh 14 hari.

Menurut Kian Nam, pihaknya juga akan menyerahkan surat penjelasan kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian berkenaan.

Iklan

"Penjelasan tersebut termasuk mengapa hanya notis kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan dikeluarkan kepada pemilik pokok selepas insiden berlaku bukannya sebelum kejadian.

"Selain itu, kita juga mahu tahu adakah pihak muzium pernah membuat aduan berkenaan risiko membabitkan pokok tersebut sebelum ini.

"Sekiranya MBPP tidak menjawab dalam tempoh 14 hari atau selepas penjelasan diterima, keluarga mangsa masih tidak berpuas hati, kita juga akan mengeluarkan notis tuntutan saman terhadap MBPP," katanya.

Tambahnya, notis tuntutan saman tersebut dibuat oleh ibu dan juga isteri mangsa, Yang Xue Li, 69, suami mangsa, Wang Geng Feng, 41 dan abang mangsa, Liu Yu Hui, 43.

"Tindakan utama mereka akan berdasarkan 'Tort', Akta Undang-Undang Sivil, pelanggaran tanggungjawab jagaan, adat perdagangan dan tanggungjawab statutori.

"Ia membawa makna, nyawa dua ahli keluarga mereka tidak akan terkorban dalam tragedi tersebut jika semua pihak terbabit sentiasa mengambil langkah asas dan munasabah untuk menyelenggara pokok tersebut selain memastikan keselamatan kawasan parkir di muzium yang merupakan salah satu lokasi pelancongan terkenal di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, keluarga mangsa terutama anak lelaki mangsa yang berusia 11 tahun trauma dan mengalami kesukaran untuk hidup kerana kesedihan melampau.

"Sebelum tragedi, mangsa lelaki merupakan pesara yang menerima pencen sebanyak RM2,000 sebulan, manakala anak perempuannya yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia dengan gaji bulanan RM7,700.

"Kedua-dua mangsa merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan keluarga dan sekarang, mereka sudah meninggal dunia. Disebabkan itu, keluarga ini membuat notis tuntutan saman terhadap semua pihak terbabit," katanya.

Kian Nam menambah, pihaknya mengambil kes tersebut atas dasar pro bono dan kepentingan awam bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan di kawasan awam di Malaysia.

"Selain itu, ia juga bagi mempertahankan reputasi pelancongan Pulau Pinang dan Malaysia serta atas rasa simpati kepada keluarga mangsa, terutamanya ibu mangsa yang sudah tua dan anak kecil mangsa.

"Keluarga mangsa juga kesal kerana pihak berkuasa awam seperti polis, kerajaan tempatan dan Kementerian Pelancongan kerana didakwa tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap pihak-pihak terbabit sehingga hari ini di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kerajaan Tempatan, atau undang-undang lain yang relevan," ujarnya.

Katanya, lebih mengecewakan, tiada siasatan formal dijalankan malah keluarga mangsa tidak dipanggil untuk berbincang.

"Keadaan ini menunjukkan kekurangan ketelusan dan akauntabiliti awam terhadap keluarga mangsa dan orang awam selain tiada permohonan yang diterima oleh pihak keluarga mangsa," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, dua beranak yang merupakan warga China maut apabila sebatang pokok sebesar tiga pemeluk tumbang bersama binaan konkrit lalu menghempap kereta dinaiki mereka di Lebuh Gereja, di sini.

Kedua-dua mangsa berada di dalam kereta yang diparkir di kawasan bangunan Pinang Peranakan Mansion dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu.

Polis mengesahkan identiti mangsa sebagai Liu XinXin berusia 36 tahun manakala bapanya, Liu Zhu berusia 69 tahun.