RM3 bilion nilai kerugian libat pelbagai jenayah komersial tahun lalu

Iklan
Ramli (dua, kanan) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 41,701 kertas siasatan dibuka merangkumi pelbagai kes jenayah komersial melibatkan lebih RM3 bilion nilai kerugian sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesalahan tipu merekodkan nilai tertinggi iaitu sebanyak 37,240 kes dengan nilai kerugian RM2.64 bilion.

Iklan
Iklan

"Statistik ini turut melibatkan kes pecah amanah jenayah merekodkan nilai kerugian sebanyak RM546.3 juta, salah guna harta dengan curang (RM66.3 juta) dan pemalsuan (RM10.1 bilion).

"Selain itu, turut direkodkan melibatkan kes wang palsu (RM1 bilion), pemberi pinjam wang tidak berlesen atau along (RM5.2 bilion) dan lain-lain kes (RM1.6 bilion)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, penipuan dalam talian direkodkan kes paling tinggi sepanjang tempoh sama dengan mencatatkan 35,368 kes bersamaan 84.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah komersial.

Iklan

"Jenayah telekomunikasi merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 14,684 kes diikuti jenayah e-dagang (7,662) dan pelaburan tidak wujud (6,337).

"Statistik berkenaan diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 4,103 kes, jenayah e-kewangan (1,812) dan love scam (770)," katanya.

Menurutnya, sejumlah 16,813 kes atau 40.3 peratus daripada keseluruhan kes yang disiasat telah berjaya dituduh di mahkamah.

"Jabatan turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan yang bermatlamat untuk memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial dan modus operandi bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

"Selain itu, sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan turut dilaksanakan merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya," jelasnya.

Ramli berkata, pihaknya turut melakar beberapa kejayaan yang mencetus dimensi baharu dalam penguatkuasaan undang-undang jenayah komersial pada tahun lalu.

"Antaranya melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai 2024.

"Kedua-dua RUU ini juga telah dibentang dan diluluskan di Dewan Negara pada 22 Julai 2024, pindaan ini melibatkan penambahan empat seksyen baharu ke dalam Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D dan 1 Seksyen baharu ke dalam Kanun Tatacara Jenayah iaitu Seksyen 116D," katanya.

Jelasnya, kesemua peruntukan baharu ini mula berkuat kuasa pada 30 Oktober lalu dalam memperkasakan siasatan bersabit penipuan dalam talian khususnya melibatkan penggunaan akaun keldai.

"Sejumlah 49,759 akaun keldai telah dikesan sepanjang tahun 2024, menjadikan keseluruhan akaun keldai yang direkodkan berjumlah 230,176," ujarnya.

Katanya, JSJK juga julung kalinya pada tahun lalu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) melibatkan siasatan terhadap kes jenayah terancang mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap di sebuah bank tempatan.