SEOUL- Ketua Perkhidmatan Keselamatan Presiden Korea Selatan (PSS) menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menahan Presiden yang didakwa, Yoon Suk Yeol tidak seharusnya mengakibatkan pergaduhan atau pertumpahan darah, lapor agensi berita Yonhap.
Ketua PSS, Park Chong Jun membuat kenyataan itu ketika hadir di balai polis untuk disoal siasat mengenai dakwaan bahawa beliau mengarahkan pegawai keselamatan presiden menghalang Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) yang disokong polis, daripada melaksanakan waran untuk menahan Suk Yeol.
Iklan
Iklan
"Saya percaya ramai yang sangat bimbang dengan situasi semasa, di mana agensi kerajaan berkemungkinan bertelagah. Tidak boleh ada pergaduhan fizikal atau pertumpahan darah dalam apa jua keadaan,” katanya.
Chong Jun berusaha meredakan kebimbangan orang ramai terhadap ketegangan antara penyiasat dan pasukan keselamatan presiden Suk Yeol.
"Saya percaya penyiasatan perlu dijalankan dengan cara yang sesuai dengan status seorang presiden yang sedang berkhidmat,” katanya kepada pemberita ketika memasuki Ibu Pejabat Siasatan Bersama di barat Seoul.
Suk Yeol enggan bekerjasama dengan CIO bagi disoal siasat atau pelaksanaan waran tangkap, dengan alasan bahawa agensi itu tidak mempunyai kuasa teknikal untuk menyiasat tuduhan pemberontakan yang timbul daripada penguatkuasaan undang-undang tentera oleh beliau pada 3 Disember lepas. - Bernama