Najib tidak pasti siapa beri nombor akaun peribadinya kepada Arab Saudi

Iklan
Najib (kiri) membela diri terhadap menyeleweng dana 1MDB. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pasti siapa yang memberikan nombor akaun bank peribadinya untuk urusan kemasukan sumbangan daripada Arab Saudi.

Najib, yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama ketika membela diri membabitkan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar.

Iklan
Iklan

"Ada kemungkinan orang lain beritahu, mungkin Low Taek Jho atau Jho Low,” kata Najib.

Kamal Baharin: Adakah Datuk Seri mengucapkan penghargaan kepada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah atas sumbangan AS$20 juta walaupun yang dijanjikannya adalah AS$100 juta?

Iklan

Apabila Kamal Baharin mencadangkan bahawa sumbangan tersebut tidak mungkin daripada Raja Abdullah kerana jumlahnya hanya AS$20 juta dan bukannya AS$100 juta seperti dijanjikan, dan bahawa itulah sebabnya beliau tidak menghantar surat ucapan terima kasih atau penghargaan kepada Raja Abdullah, Najib tidak bersetuju.

Najib juga menafikan dakwaan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah dari 1MDB.

Iklan

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau 'menganggap' sumbangan tersebut adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi dan tidak pernah membuat semakan mengenai perkara tersebut.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung Isnin. - Bernama