[VIDEO] Pasangan 'kekasih gelap' berdepan tali gantung

Iklan

JOHOR BAHRU - Pasangan kekasih gelap berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi enam pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, bulan lalu.

Tertuduh iaitu lelaki tempatan, Noor Haimi Ayhari, 49, dan wanita warga Singapura, Nur Anne Mohd Hussin, 38, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Iklan
Iklan

Di hadapan Majistret A Shaarmini, kedua-dua tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 62 gram methamphetamine dan 39.4 gram kanabis di sebuah pangsapuri di Persiaran Aliff Harmoni Utama, Taman Damansara Aliff, di sini pada jam 4.15 pagi, 31 Disember lalu.

Noor Haimi (depan, kiri) dan Nur Anne (belakang, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat selepas menghadapi pertuduhan mengedar dan memasukkan dadah dalam badan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Iklan

Sementara di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, mereka didakwa mengedar 510 gram ganja di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana di sini, pada jam 6.20 pagi, hari sama.

Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kedua-dua mereka yang masing-masing sudah berkahwin, faham akan semua pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan.

Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.

Di hadapan Majistret R Salini pula, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di apartment di Taman Damansara Aliff itu, pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu dengan memiliki 3.8 gram heroin, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 14 gram bahan psikotropik iaitu nitrazepam.

Nur Anne (depan, tengah) Nur Anne turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga dua anggota polis.

Sementara itu, Noor Haimi dan Nur Anne masing-masing mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Salini dan Shaarmini atas tuduhan memasukkan methamphetamine ke dalam badan mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, pada jam 10.13 pagi, 31 Disember lalu.

Pada masa sama, Nur Anne turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga dua anggota polis di tepi jalan Persiaran Aliff Harmoni, Taman Damansara Aliff di sini, pada jam 1 pagi, pada hari yang sama.

Kes-kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Februari dan 10 Mac depan bagi serahan dokumen dan sementara menunggu laporan patologi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Nor Afiqah Musa dan Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam serta tiada sebarang jaminan dibenarkan memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pertuduhan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.