Bekas pemandu lori nekad jual ayam selepas disahkan pesakit buah pinggang tahap lima

Iklan
Zahari membantu isteri menggoreng ayam yang dijual di hadapan rumahnya.

MACHANG - Bekas pemandu lori nekad menjual ayam untuk menyara keluarga selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima tiga tahun lalu.

Zahari Harun, 49, membuat keputusan menjual ayam di Pasar Basah Kok Lanas pada waktu pagi dan ayam goreng di rumahnya pada waktu petang.

Iklan
Iklan

Bapa kepada dua anak itu berkata, menerusi hasil jualannya, dia dapat menampung kos perubatan yang tinggi selain turut menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO) untuk dialisis.

Zahari menunjukkan pelbagai ubat yang perlu diambil bagi menstabilkan kesihatannya.

"Saya perlu menjalani dialisis seumur hidup dan ada kos tambahan antara RM100 hingga RM150 setiap bulan," katanya ketika ditemui di kediamannya Kampung Jenereh Bongkok pada Jumaat.

Iklan

Menurut Zahari, pendapatan yang diperoleh setiap bulan tidak menentu namun sekurang-kurangnya dapat menyara persekolahan anak-anak dan menampung perbelanjaan harian.

Zahari juga bersyukur kerana mendapat sokongan isteri, Rozana Aini Hussin, 48, yang sentiasa membantu melakukan kerja-kerja berat yang tidak mampu dilakukan sendirian.

Iklan

Bagaimanapun katanya, keadaan menjadi lebih sukar jika dia mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan beberapa masalah kesihatan lain kerana pernah menghidap kencing manis.

"Ketika itu saya perlu banyak berehat dan memerlukan bantuan isteri selain perlu mengambil 14 biji pil setiap hari," katanya.

Zahari juga memberitahu pernah berhutang dengan pusat dialisis kerana tidak mampu membuat bayaran sebanyak RM600 selepas dialisis.

"Mujur jururawat di pusat itu banyak membantu dan boleh berkompromi kerana memahami keadaan kami," ujarnya.

Tambahnya lagi, setiap bulan dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 dan jumlah itu turut meringankan bebannya.

Bagi memastikan kesihatannya stabil, Zahari perlu menghadiri janji temu di hospital tiga bulan sekali dan banyak berpantang.