JIM serbu kebun sayur diusaha warga asing, tahan 65 individu

Iklan
Jabatan Imigresen Malaysia

PUTRAJAYA - Kebun sayur berkeluasan sekitar lima hektar di Telok Panglima Garang, Selangor yang diusahakan oleh warganegara asing dari Bangladesh dan Pakistan digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warganegara asing mengusahakan kebun sepanjang Jalan Halia Muda, Kampung Johan Setia, itu berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan yang telah tamat tempoh pada 9 Januari 2025.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 69 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke sekitar kawasan kebun tersebut dan memeriksa seramai 70 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan seorang warganegara tempatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada pemeriksaan di kawasan tersebut, JIM menahan 65 warganegara asing terdiri daripada 42 lelaki warganegara Bangladesh, 13 lelaki dan seorang perempuan warganegara Myanmar, empat lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara India.

Iklan

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Zakaria berkata, kesemua yang ditahan berumur di antara 18 hingga 60 tahun dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Iklan

Operasi itu bermula pada jam 11.30 pagi melibatkan Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen. - Bernama