PM gesa DBKL baiki kawasan perniagaan uzur di sekitar Jalan Masjid India

Iklan
Anwar meninjau di sekitar Jalan Masjid India selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid India pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk turun padang meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di sekitar Jalan Masjid India.

Beliau berkata, deretan kedai dan gerai, termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan merupakan kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.

Iklan
Iklan

"Ada kedai yang rosak, ada yang teruk (keadaannya). Saya minta DBKL, Kementerian Wilayah tengok dan segerakan (baik pulih). Ini kawasan tumpuan ramai

"Ini boleh dilakukan dan diselesaikan menggunakan kaedah fast track bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pada masa yang sama, membantu peniaga dan penjaja kecil memajukan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di sekitar Jalan Masjid India.

Iklan

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit melakukan tinjauan mesra di kawasan berkenaan.

Terdahulu Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid India yang turut dihadiri lebih 5,000 jemaah, dan mendengar khutbah bertajuk ‘Memuliakan Rejab, Menggarap Mustajab’ yang disampaikan imam Nasrul Haq Abdul Latif. - Bernama

Iklan