Soon Huat-Shevon bergaya ke separuh akhir Terbuka Malaysia

Iklan
Shevon (kanan) dan Soon Huat mengalahkan gandingan China untuk mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai bergaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2025 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan nombor enam dunia itu membenam Cheng Xing-Zhang Chi dalam aksi suku akhir di Axiata Arena sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Pasangan suami isteri berusia 35 dan 32 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menang 21-15.

Aksi Shevon (kanan) dan Soon Huat ketika berdepan pasangan China dalam aksi suku akhir Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Menjengah set kedua, beregu meningkat naik dari China itu cuba mengubah rentak permainan, namun pengalaman memisahkan apabila Soon Huat-Shevon mengesahkan kemenangan 22-20 dalam masa 47 minit permainan.

Iklan

"Saya gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi di depan penonton sendiri. Terima kasih di atas sokongan mereka," ujar Shevon.

Menerusi keputusan tersebut menyaksikan rekod kemenangan Soon Huat-Shevon ke atas Cheng Xing-Zhang Chi kepada 3-2.

Iklan
Shevon (kanan) dan Soon Huat akan berdepan pasangan Thailand dalam aksi separuh akhir Terbuka Malaysia pada Sabtu. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Menanti mereka dalam aksi separuh akhir ialah pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menewaskan wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-12, 14-21, 21-7 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Sebagai rekod, kali terakhir gandingan Malaysia mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia ialah pada 2019 menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berdepan Wang Yilyu-Huang Dongping, namun kemenangan memihak pasangan China itu 21-13, 21-17.

Kali terakhir pasangan negara melangkah ke final pula ialah pada 2016 menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, namun tewas di tangan wakil Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-23, 21-13, 16-21.