KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat berjaya dalam permohonannya untuk menghalang blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, sehingga kes saman diputuskan oleh mahkamah.
Hal ini selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Gan Techiong membenarkan permohonan injunksi inter-parte (secara dua pihak) oleh Razarudin selaku plaintif dalam saman RM3 juta yang difailkannya terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Permohonan injunksi yang dipohon plaintif dibenarkan dan defendan (Wan Muhammad Azri) perlu membayar kos kepada plaintif sebanyak RM10,000. Mahkamah juga menetapkan 20 Januari ini untuk pengurusan kes," kata Techiong.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.
Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Terdahulu, peguam S Raam Kumar yang mewakili Razarudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan notis permohonan injunksi ex-parte, afidavit plaintif serta surat mengenai pendengaran injunksi inter-parte kepada Wan Muhammad Azri secara peribadi pada 3 Januari.
"Dalam surat itu memaklumkan bahawa hari ini ialah pendengaran permohonan injunksi inter-parte di mahkamah ini, namun setakat ini defendan atau peguamnya tidak hadir,” kata peguam itu.
Sementara itu, Techiong berkata, firma guaman Law Practice of Rafique telah memaklumkan kepada mahkamah pagi Jumaat bahawa pihaknya akan mewakili Wan Muhammad Azri dan mengarahkan peguam yang bertindak bagi pihak Razarudin untuk menghubungi pejabat firma guaman terbabit sebelum menangguhkan prosiding selama sejam.
Bagaimanapun, Techiong memerintahkan prosiding pendengaran itu diteruskan selepas Raam Kumar memaklumkan beliau telah menghubungi pejabat firma guaman itu sebanyak 10 kali, namun panggilannya tidak dijawab.
"Notis permohonan dan afidavit plaintif berserta surat mengenai pendengaran hari ini telah diserahkan kepada defendan pada 3 Januari dan defendan ada melantik peguam, namun gagal hadir ke mahkamah. Peguam plaintif telah cuba menghubungi pejabat peguam itu banyak kali pada pagi ini tetapi panggilan tidak dijawab, oleh itu pendengaran inter-parte diteruskan,” kata Techiong.
Dalam saman yang difailkan pada 26 Disember lepas, Razarudin menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, teruk atau teladan dan khas.
Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. - Bernama