SEPANG - Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berlepas ke Indonesia pada Jumaat selepas menamatkan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.
Ishiba, yang diiringi isterinya Yoshiko, diberikan sambutan hamparan permaidani merah serta tabik hormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Muhammad Iskandar Dzulkarnaen Doa@Hasan di Kompleks Bunga Raya di sini.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Duta Besar Jepun ke Malaysia,Shikata Noriyuki.
Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan sebuah album khas yang mengandungi foto-foto lawatan Ishiba ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Ishiba dan rombongannya berlepas dari Kompleks Bunga Raya di sini ke Jakarta, Indonesia pada jam 3.55 petang.
Terdahulu, Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik yang lebih menyeluruh.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ishiba, telah membincangkan pelbagai inisiatif dalam sektor pendidikan termasuk penubuhan kampus cawangan Tsukuba University dari Jepun di Malaysia.
Inisiatif pendidikan ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun melalui kerjasama yang lebih erat dalam perdagangan, pelaburan, dan tenaga bersih.
Hubungan Malaysia dengan Jepun semakin kukuh, dengan peningkatan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Menyeluruh pada Disember 2023.
Jepun menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan yang melibatkan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia sehingga Jun 2024.
Projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (AS$30.4 bilion), yang menyediakan peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.
Jepun juga adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (AS$34.41 bilion) pada 2023. - Bernama