LAHORE – Dua remaja perempuan ditahan atas tuduhan membunuh bapa mereka dengan membakarnya sebagai tindakan membalas dendam terhadap dakwaan rogol ke atas mereka, menurut pihak polis pada Rabu.
Insiden pembunuhan berlaku di Gujranwala, Punjab, Pakistan pada 1 Januari lalu, mangsa dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia pada Selasa akibat cedera parah.
"Kedua-dua gadis itu memutuskan untuk mencari ‘penyelesaian kekal’ terhadap situasi mereka,” kata pegawai kanan polis di bandar itu, Rizwan Tariq kepada AFP.
Menerusi keterangan pihak polis, suspek mengambil petrol dari sebuah motosikal dan membakar bapa mereka ketika dia nyenyak tidur.
Kedua-dua gadis tersebut, yang merupakan anak tiri, mendakwa bahawa bapa mereka telah merogol anak sulung selama setahun dan merogol anak bongsu dua kali.
Ibu-ibu mereka, yang kedua-duanya berkahwin dengan lelaki tersebut mengetahui mengenai jenayah tersebut tetapi tidak mengetahui rancangan anak mereka yang ingin membalas dendam itu.
Salah seorang daripada isteri lelaki itu turut ditahan manakala seorang lagi sedang disoal siasat.
"Kami menjangkakan untuk membawa kesemua mereka ke mahkamah dalam beberapa hari selepas siasatan selesai,” ujar Tariq lagi. – AFP