IPOH - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Jaya di sini terkejut apabila seekor kuda memasuki kawasan sekolah berkenaan dalam kejadian pagi Jumaat.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta berkata, APM menerima panggilan daripada pihak sekolah mengenai kejadian sekitar jam 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota tiba kira-kira 30 minit kemudian.
Menurutnya, sebelum tiba di lokasi, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dihubungi bagi meminta bantuan untuk menyediakan ubat pelali kerana pemanggil memaklumkan kuda tersebut agresif apabila didekati.
"Setibanya di lokasi, anggota APM berjaya menenangkan kuda tersebut dan menambat haiwan tersebut di sebatang pokok.
"Kuda tersebut dipercayai terlepas dari kandang yang berada berhampiran sekolah sebelum masuk melalui pintu pagar dan berkeliaran di dalam sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, bagaimanapun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan warga sekolah mahupun haiwan berkenaan.
Jelasnya, anggota APM kemudiannya berjaya menemui pemilik kuda tersebut dan kemudian haiwan tersebut dituntut kembali sebelum operasi tamat jam 9.25 pagi.