Lima ahli sindiket ditahan bersama 12,975 gram heroin

Iklan
Serbuan dibuat di dua lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara yang bermula pada petang Khamis sehingga awal pagi Jumaat. (Gambar kecil: Hamzah)

GEORGE TOWN - Lima ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang warga asing ditahan bersama 12,975 gram heroin bernilai RM124,550 dalam dua serbuan di lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang antara jam 1 petang, 9 Januari hingga 4 pagi Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing di sebuah kawasan penternakan haiwan di Tasek Gelugor lalu merampas 22 peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 10,025 gram bernilai RM96,250.

Iklan

"Susulan daripada tangkapan itu, kita berjaya menahan dua lelaki warganegara tempatan secara berasingan. Dengan dipandu arah oleh suspek, kita menyerbu sebuah bilik di kawasan Mak Mandin.

"Hasil pemeriksaan bilik tersebut, polis telah merampas tujuh peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 2,950 gram bernilai RM 28,300," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Hamzah, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket terbabit bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 650,000 penagih.

"Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan melibatkan jenayah dan dadah," jelasnya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan ditahan reman selama enam hari bermula Jumaat sehingga 15 Januari ini untuk siasatan lanjut.

"Selain rampasan dadah, kita turut menyita tiga kereta, dua motosikal, lima rantai leher, empat bentuk cincin, dua bentuk subang serta wang tunai RM2,500.

"Jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM186,813 dan jumlah sitaan serta rampasan dadah adalah RM311,363. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.