LABUAN - Seorang pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan kerja pendawaian menyelenggara bangunan sebuah agensi kerajaan di sini bernilai kira-kira RM300,000.
Suspek lelaki berusia 30-an ditahan reman selama lima hari sehingga 15 Januari ini selepas permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret Labuan pada Jumaat.
Menurut sumber, suspek pada awalnya ditahan kira-kira jam 5 petang Khamis ketika hadir memberi keterangan di SPRM Labuan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022.
Selain itu, suspek juga disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja pendawaian senggaraan bangunan bernilai kira-kira RM300,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.