JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Sepakat Baru di Skudai di sini meluahkan kebimbangan susulan kewujudan air berwarna hitam, berbuih dan mengeluarkan bau busuk seperti bangkai yang mengalir ke Sungai Skudai berhampiran kampung itu.
Ahli Jawatankuasa Penduduk Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran, 54, berkata, air tersebut dipercayai telah mengalir keluar ke sungai itu sejak akhir bulan lepas.
Beliau yang tinggal di kampung itu lebih 40 tahun berkata, lokasi saliran air tersebut juga terletak hanya kira-kira 300 meter dari rumahnya sekali gus menimbulkan kebimbangan.
"Air hitam ini keluarkan bau yang busuk seperti bangkai dan mengeluarkan buih tetapi setakat ini baunya tidak seperti gas.
"Kejadian ini merisaukan dan kita musykil dari mana datangnya saliran air yang terus-menerus mengalir keluar ke sungai tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Menurutnya, cuaca panas sejak seminggu lepas sekali gus menyebabkan bau busuk yang lebih kuat.
"Apabila tidak hujan lagi teruk bau busuknya, cuma hari ini baru hujan turun dan bau itu tenggelam timbul.
"Apa yang merisaukan kita adalah kampung kita berdekatan dengan loji air, jadi kita harap tiada apa-apa berlaku,” katanya.
Beliau berkata, kejadian pencemaran seumpama itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan yang terletak agak jauh dari kawasan kilang iaitu lebih kurang lima kilometer selain berdekatan projek perumahan serta kebun kelapa sawit.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkaitan agar menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti punca pencemaran.
Katanya, perkara itu juga telah diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Sementara itu, Marina menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya sudah memanjangkan isu tersebut kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tindakan lanjut.
Terdahulu tinjauan Bernama di lokasi mendapati bau busuk masih ada meskipun hujan lebat.
Beberapa penguat kuasa JAS turut kelihatan melakukan tinjauan dan mendapatkan maklumat berdekatan lokasi kejadian. - Bernama