KUALA LUMPUR - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan agar Inisiaitif Sejati Madani yang menawarkan peruntukan sehingga RM100,000 diberikan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKPP) bagi menggerakkan ekonomi setempat dalam mengatasi isu migrasi anak muda desa ke luar bandar.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, dana berkenaan mampu memberi manfaat bagi mewujudkan pelbagai aktiviti perniagaan selain mengurangkan masalah migrasi anak muda dari luar bandar ke bandar-bandar besar.
"Bantuan masih diperlukan untuk menggerakkan ekonomi. Isu kos sara hidup masih menjadi cabaran utama anak muda hari ini, dengan ancaman kerja yang semakin berkurangan dan digantikan dengan robotik.
"Oleh itu, inisiatif ini boleh diperluaskan kepada pergerakan dan pertubuhan belia, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) ke-73 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.
Hadir merasmikan majlis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Persidangan MPAT MBM berlangsung bermula 9 hingga 11 Januari dengan kehadiran 399 orang perwakilan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Tertinggi dan Badan-badan Gabungan MBM dari seluruh negara.
Dalam pada itu, Mohd Izzat berkata, MBM menyokong penuh usaha dan jihad kerajaan dalam mengangkat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama negara.
"Pada masa sama, kemahiran yang bersifat kalis masa depan di dalam TVET juga perlu diperluaskan dan ditawarkan kepada anak muda. Cabaran ekonomi juga bukan kepalang dengan teknologi bercambah dari hari ke hari.
"MBM turut menyokong usaha dan inisiatif kerajaan dalam menyokong ekonomi masa depan negara seperti aset digital kripto, blockchain dan worldcoin,” ujarnya.
Tambah beliau, MBM bertanggungjawab memastikan negara ini tidak ketandusan pemimpin muda yang akan menerajui masa depan negara.
"Pelapis yang lahir dari MBM merupakan pemimpin ‘syurawi’ yang mana pertubuhan ini sentiasa mengutamakan dialog dan kesepakatan bersama. Acuan pemimpin dari MBM diperlukan Malaysia yang mempunyai kerencaman kaum dan agama.
"Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bekas presiden MBM telah menjadi contoh pemimpin syurawi dengan peranan aktif beliau di pentas lokal dan global dalam mempromosikan keadilan serta keamanan sejagat,” katanya.